Pic: Malay Mail
Sehingga hari ini, isu beberapa pemimpin tertinggi UMNO terus mendesak untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dengan segera bukanlah sesuatu yang baru. Semalam Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi cukup selesa menghentam parti pembangkang mengelak daripada PRU-15 diadakan dengan kadar segera.
Jika kita lihat, hanya Kluster Mahkamah UMNO sahaja yang beriya-riya mengusulkan pembubaran parlimen agar Pilihan Raya Umum ke-15 dapat diadakan.
Daripada terus mendesak dan menghentam pelbagai pihak, apa kata, Presiden UMNO mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat bagi mengesahkan keabsahan Ismail Sabri tidak mendapat sokongan sebagai Perdana Menteri majoriti ahli Dewan Rakyat.
Dengan adanya beberapa kepimpinan UMNO dalam kerajaan sekarang juga cukup menggusarkan, di mana satu demi satu, rakyat melihat mereka yang sebahagian dari ‘kluster mahkamah’ sudah dilepaskan dan berkemungkinan akan kembali menduduki kedudukan berkuasa dan berpengaruh semula dalam kerajaan.
Kita sedia maklum bahawa, PRU, sekiranya diadakan akan menelan kos berbiliion ringgit. Disaat rakyat sedang dihimpit kesusahan nyata pada hari ini, Presiden UMNO seharusnya cakna dalam memastikan wang sebanyak itu digunakan untuk membantu rakyat dan bukannya berhabis berbilion ringgit untuk nafsu politik beberapa kerat manusia.
Datuk Seri Presiden UMNO juga berpendapat bahawa sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh pasti usaha-usaha membantu rakyat akan lebih efektif sekaligus mengurangkan jurang pendapatan golongan miskin dan kaya di negara ini dilaporkan melebar sejak daripada tahun 2019.
Walau bagaimanapun, “langkah demokratik” yang dicadangkan agar rakyat mendapatkan semula sebuah kerajaan yang kukuh bukanlah dengan mengadakan PRU-15 disaat rakyat terbeban dengan isu ekonomi dan kos sara hidup.
Jelas bahawa, desakan supaya diadakan PRU dalam keadaan negara berdepan inflasi oleh golongan kluster Mahkamah ini amat mementingkan diri sendiri.
Datuk Seri Presiden UMNO masih boleh bersenang-lenang kerana memiliki asset berjuta ringgit, akan tetapi fikir-fikirkanlah keadaan rakyat yang sedang kesusahan.
Bukan isu ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi sahaja yang perlu difikirkan malahan negara kita juga belum selesai berperang dengan wabak COVID-19. Isu kesihatan juga harus difikirkan. Jangan la mendesak demi kepentingan sendiri.
Saya menyeru agar wakil-wakil rakyat termasuk ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri tidak menjadi ‘badut’ kepada kepimpinan tertinggi parti masing-masing dan lebih fokus kepada isu penyelesaian kesusahan rakyat. Ketika dalam krisis inilah rakyat memerhatikan lagak kepimpinan yang berada di atas.
Harus diingatkan bahawa rakyat menuntut anda semua menjadi wakil rakyat sejati, berwibawa serta berkredibiliti bukannya menjaga kepentingan golongan yang hanya mahu melepaskan diri daripada tuduhan mahkamah.
Mahathir Hj Mohd Rais adalah Ketua BERSATU Bahagian Segambut (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).
*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

