Polis rakam keterangan teman lelaki bantu siasatan kes bunuh

2 Jun 2022 • 3:15 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Polis memanggil seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh dan bakar seorang wanita di tepi Sungai Kuala Kangsar, di Kampung Talang Hulu di Kuala Kangsar, Selasa lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki berumur 20 tahun itu yang dipercayai teman lelaki kepada wanita berkenaan dipanggil pada 2.45 petang semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar bagi diambil keterangan.

“Kita sudah panggil teman lelaki wanita itu dan masih lagi menyiasat sama ada lelaki itu mempunyai kaitan dengan kes itu.

“Bagaimanapun, setakat ini belum ada tangkapan dibuat. Proses bedah siasat dibuat pagi tadi bagi mengenal pasti punca kematian,“ katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan ‘Pride Of Workmanship’ kepada petugas barisan hadapan Polis Diraja Malaysia oleh Kelab Rotary Malaysia di Mes Pegawai Kanan Polis di sini hari ini.

Semalam, Mior Faridalathrash berkata satu mayat wanita berusia 21 tahun dipercayai dibunuh ditemukan dalam keadaan terbakar apabila polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan itu pada kira-kira 3.05 petang Selasa lepas.

Beliau berkata adik lelaki mangsa berusia 19 tahun membuat laporan mengenai kehilangan wanita itu dipercayai berkaitan dengan penemuan mayat terbakar berdasarkan beberapa barangan dipakai mangsa.

Mior Faridalathrash berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama