115 kakitangan UMK terima APC 2021

1 Jun 2022 • 9:15 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengiktiraf 115 kakitangan universiti itu menerusi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 yang diadakan di UMK Bachok, di sini, pada Selasa.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, daripada jumlah itu juga, lima mereka menerima Anugerah Jasa Bakti (AJB) dan empat penerima Anugerah Jasa Setia (AJS).

Katanya, penganugerahan terbabit bertujuan mendorong kakitangan universiti itu untuk menjalankan tugas dengan baik dan cemerlang kepada organisasi.

“APC yang diberikan ini perlu dijadikan sebagai motivasi utama oleh warga UMK untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan lebih bermutu serta berkualiti.

“Anugerah juga adalah dorongan dan motivasi kepada rakan-rakan lain sebagai sasaran untuk berkhidmat dan menyumbang bakti dengan cemerlang untuk mencapai anugerah ini,” katanya pada Majlis APC UMK 2021 di Dewan Tuanku Canselor (DTC), UMK Bachok, pada Selasa.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof Dr Razli Che Razak.

Kesemua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) membawa pulang hadiah simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bernilai RM1,000 dan sijil penghargaan.

Ujarnya, APC bukan untuk berlawan, ‘cah keting’ atau sabotaj rakan-rakan sekerja lain tetapi jadikan pengiktirafan untuk persaingan secara sihat dan berlumba-lumba untuk mencapai kecemerlangan.

Dalam pada itu, katanya, UMK turut memberi anugerah insentif Graduate On Time (GOT) kepada dua penerima yang berjaya menamatkan pengajian mereka dalam tempoh asal pengajian.

Pada majlis sama, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) diumumkan sebagai penerima Anugerah Cemerlang Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (EOSH) 2021 yang membawa pulang piala, Sijil Penghargaan dan wang tunai RM1,000.

Anugerah tersebut diterima oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ts Dr Arham Abdullah.