Hanya bot galah jadi penghubung

1 Jun 2022 • 8:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

TUMPAT - Melihat atau menyambut kelahiran bayi di dalam bot enjin galah sudah menjadi asam garam buat kaum hawa yang menetap di kawasan perkampungan pulau di Mukim Teluk Renjuna di sini.

Mana tidaknya, bot enjin galah merupakan kenderaan utama penduduk sejak bertahun lama untuk berulang alik dari perkampungan pulau itu ke ‘tanah besar’ menggunakan jeti Kok Majid.

Antara kampung yang berada di mukim itu ialah Pulau Suri, Teluk Renjuna, Beluru, Pulau 100, Haji Nik Mat, Cendol, Che Tahir, Pantai Baru, Tokang, Che Soh dan beberapa lagi kawasan.

Seorang warga emas, Che Mas Yusuf, 67, mengakui salah seorang cucunya antara generasi yang dilahirkan di atas bot semasa dalam perjalanan untuk ke kawasan darat sebelum dibawa ke hospital.

image is not available

“Ini antara cabaran yang terpaksa dilalui penduduk. Jadi saya amat berharap kerajaan dapat membina sebuah jambatan untuk kemudahan penduduk di sini,” katanya.

Menurutnya, lebih memeritkan setiap kali tiba musim tengkujuh penduduk akan ‘terkurung’ apabila tidak dapat keluar ke tanah besar disebabkan tiupan angin kencang, hujan lebat dan air banjir.

Mohd Faiza Ibrahim, 42, menyifatkan pembinaan jambatan itu sudah menjadi keperluan mendesak buat masyarakat di sini.

image is not available

Dia berkata, kemudahan itu dijangka mampu memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk di mukim berkenaan yang bergantung sepenuhnya kepada penggunaan bot enjin galah.

“Saya difahamkan Ahli Parlimen Tumpat (Datuk Che Abdullah Mat Nawi) telah membawa perkara itu ke pengetahuan kerajaan Persekutuan.

“Jadi saya harap impian penduduk untuk menikmati kemudahan jambatan ini akan menjadi kenyataan,” katanya.

image is not available

Menurutnya, difahamkan lokasi pembinaan jambatan itu sudah dikenal pasti antara Kampung Pulau Gorek dengan Teluk Renjuna.

Sementara itu, anak kelahiran Kampung Pulau Suri, Aziz Saat, 34, mengakui perit untuk berdepan musim tengkujuh apabila tidak dapat keluar bagi mendapatkan barangan keperluan harian disebabkan oleh cuaca buruk yang boleh memberikan risiko kepada penduduk.

image is not available

“Bila ada jambatan ini saya percaya ia akan memudahkan lagi urusan harian penduduk terutama melibatkan pelajar sekolah.

“Bot galah merupakan pengangkutan utama pelajar sekolah di sini. Begitu juga jika berlaku kematian, penduduk terpaksa menggunakan bot untuk membawa jenazah yang terletak di tanah besar,” katanya.

Menurutnya, menjadi harapan penduduk agar kerajaan segera membina jambatan kerana ia amat penting buat mereka terutama ketika kecemasan.

image is not available

View Original Article