Bekalan air Lembah Klang mampu bertahan 8 bulan hadapi kemarau

2 Jun 2022 • 9:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Hasrolnizam Shaari berkata, beberapa gerak kerja mula dilakukan oleh pihaknya sejak beberapa tahun lalu bagi berdepan cuaca tersebut.

Menurutnya, antara langkah yang dilakukan bagi memastikan penduduk di Lembah Klang mampu menikmati 5,000 juta liter air sehari semasa musim tersebut ialah mengaktifkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau yang dijangka siap dibina pada tahun 2024.

Katanya, LRA tersebut mampu menjadi bekalan air alternatif tambahan yang menyumbang sebanyak 30 peratus sumber air di Selangor.

"Bila musim kemarau, biasanya sungai akan jadi lebih cetek dan kering, jadi kita akan lepaskan air dari empangan.

"Kalau dari empangan, kita mampu simpan bekalan air untuk empat bulan, manakala kolam takungan pula sebanyak dua bulan, namun jika masih tiada sumber air, kita terpaksa teroka air dalam tanah yang ada potensi lagi 2,000 juta liter lagi yang mampu bertahan selama dua bulan," katanya pada majlis Hi-Tea bersama pengamal media di I-City di sini pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, Hasrolnizam turut memaklumkan Zero Discharge Policy (ZDP) akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada Ogos ini, namun ia tertakluk kepada keputusan kerajaan negeri.

Sementara itu, majlis Hi-Tea yang diadakan secara santai itu turut meraikan para pengamal media yang sering membuat liputan berkenaan gerak kerja LUAS.

Selain sesi perkongsian maklumat oleh LUAS kepada pihak media, pelbagai aktiviti dilakukan melibatkan kedua-dua pihak tersebut untuk merapatkan hubungan dan menjalin kerjasama pada masa hadapan.