PM mahu kerosakan eskalator, pintu automatik di CIQ Johor diperbaiki

12 Jun 2022 • 6:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

JOHOR BAHRU - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu kerosakan eskalator serta pagar automatik untuk pemegang pasport Malaysia di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar di sini diperbaiki segera.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan mengejut di kompleks CIQ bersama dengan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi tengah hari tadi.

Menurut Ismail Sabri, kekurangan itu perlu diselesaikan segera untuk kemudahan Keluarga Malaysia dan pengembara dari luar kerana ia merupakan antara pintu masuk utama negara.

"Kompleks ini sudah kembali pulih selepas sempadan negara dibuka semula sepenuhnya. Saya mendapati kemudahan-kemudahan termasuk pengangkutan awam dalam keadaan baik kecuali kerosakan eskalator dan pagar automatik untuk pemegang pasport Malaysia," katanya menerusi catatan di Facebook rasmi beliau hari ini.

Terdahulu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Ismail Sabri di Istana Bukit Serene di sini.

Berangkat sama Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Turut hadir Onn Hafiz dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Ismail Sabri turut diraikan dalam satu majlis santapan tengah hari bersama Sultan Ibrahim. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved