
Kota Kinabalu: Seorang penganggur lelaki didakwa di Mahkamah Majistret pada Khamis atas pertuduhan mencuri di sebuah pasaraya.
Md Syafik Amir Sham, 22, didakwa mencuri sebotol Johnnie Walker Black Label Blended Scotch Whisky 750ml bernilai RM210 di Pasaraya Bataras, Putatan pukul 2.40 petang, 3 Jun lalu. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Syafik yang tampil di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rita Kunsoi, selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Rita menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan semula kes untuk pengakuan Syafik diambil di hadapan Majistret dan membebaskannya dengan ikat jamin sebanyak RM1,500 beserta dua orang penjamin.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 25 tahun didakwa memiliki barang curi. Md Irwan Hamid didakwa memiliki barang curi yang terdiri daripada komputer riba, pelurus rambut kepunyaan Nor Shafika Logandon dan tiga jam tangan, pembesar suara, Air Pod, tiga telefon bimbit, dua rokok elektronik, dua cermin mata, bank kuasa, dompet, lima beg kepunyaan Ellmy Logandon.
Irwan, seorang pekerja restoran, didakwa melakukan kesalahan itu pukul 10.30 malam pada 31 Mei di kaki lima sebuah kedai bersebelahan Edwin Saloon, Api-Api Centre. Tiada pengakuan diambil daripadanya.
Pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Irwan, yang tidak mempunyai dokumen pengenalan sah, diperintah direman lanjut sementara menunggu sebutan semula kesnya pada 14 Jun untuk pengakuannya diambil. Inspektor Navind Kumar Vijayan melakukan pendakwaan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
