2 Mayat Ditemukan Terapung Sekitar Jeti Marina, Pulau Indah

3 Jun 2022 • 12:25 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
2 mayat lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di sekitar perairan Jeti Marina, Pulau Indah, petang semalam. - Gambar ihsan APMM Selangor

SHAH ALAM - Dua mayat lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di sekitar perairan Jeti Marina, Pulau Indah petang semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Selangor, Kapten Maritim V. Siva Kumar berkata Pusat Operasi APMM Negeri Selangor telah menerima maklumat berkaitan penemuan itu daripada komuniti nelayan pada 4.26 petang dan bot PERKASA 36 yang sedang dalam operasi, diarahkan ke lokasi untuk mengesan dan melaksanakan tindakan selanjutnya.

“Lebih kurang pada 4.45 petang, PERKASA 36 tiba di lokasi dan telah menemukan dua mayat itu, satu daripadanya lengkap berpakaian, manakala satu mayat lagi hanya berseluar panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata kedua-dua mayat itu kemudian dibawa ke Jeti Marina untuk diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia bagi siasatan lanjut.

Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi APMM Negeri Selangor di talian 03-21760627 dan sebarang maklumat berkaitan jenayah mahupun kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi APMM Negeri Selangor atau MERS 999. - Bernama