‘Kami bertahan selagi boleh’

13 Jun 2022 • 8:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

JOHOR BAHRU - Walaupun pengusaha kantin sekolah berdepan masalah kenaikan harga bahan mentah, namun masih ada antara mereka yang mengekalkan harga tanpa mengubah saiz menu.

Pengusaha kantin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damai Jaya, Azizi Hilmi Azhari berkata, kenaikan harga bahan mentah masih boleh ditangani mereka demi lebih 1,000 pelajar sekolah terbabit.

Dia mengakui tidak berdepan masalah memandangkan sudah enam tahun bergelar pengusaha kantin sekolah dan memahami selok-belok perniagaan makanan.

“Sebelum ini pun kami sudah terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tetapi kami peniaga perlu bijak untuk terus bertahan.

“Selepas Aidilfitri, tidak dinafikan banyak barang naik harga terutama ayam. Namun kami cuba bertahan dengan kekal harga dan saiz menu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.