
KUALA LUMPUR, 6 JUN: Golongan muda digalak membaca bahan bacaan berat tanpa rasa takut dengan ketebalan buku berkenaan, saran Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata buku terjemahan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) berjudul ‘Muhammad: Riwayat Hidup Berdasakan Sumber Terawal’ adalah bahan bacaan berat yang sesuai untuk dihayati.
“Membaca buku tidak merugikan kita walau apa pun jenis buku itu. Ada bahan bacaan ringan dan juga yang berat tetapi saya nak saran jangan takut untuk baca bahan yang berat.
“Kadangkala buku yang berat, tebal ini menjadi ketakutan dan mungkin fobia untuk membaca tetapi saya tertarik dengan buku Muhammad hasil karya Martin Lings… biografi yang menyeluruh mencatat kisah perjalanan awal dari kecil hingga selepas kematian Baginda,” katanya.
Amirudin berkata demikian ketika ditanya jenis tema buku yang sesuai dibaca golongan muda pada program Sepetang Bersama Dato’ Menteri Besar Selangor di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata setakat ini buku yang diterjemah sejak dari 2018 dan siap sepenuhnya pada 2020 itu telah terjual lebih 15,000 naskah dengan dua kali cetakan.
Terjemahan ‘Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal’ dijayakan Ketua Pengarang IBDE Al-Mustaqeem Mahmod Radhi dan Pengarah Eksekutifnya Farhan Affandi.
Buku asal mengandungi 362 muka surat manakala terjemahan bahasa Melayu setebal 496 halaman meliputi 85 bab. Dicetak kulit keras, rekaannya berkonsep minimalis, sesuai cita rasa peminat buku masa kini.
The post Belia digalak baca bahan bacaan berat, MB saran buku terjemahan IBDE appeared first on Selangorkini.
