
JOHOR BAHRU - Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menahan enam individu termasuk tiga warga Myanmar dan warga Singapura serta merampas minuman keras dan rokok seludup selepas menyerbu sebuah resort di Senai, dekat sini pada Ahad.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Simpang Renggam, Superintendan Mohd Razali Melin berkata, serbuan berkenaan dilakukan pada jam 9.30 pagi melibatkan dua premis berdekatan resort berkenaan.
"Menerusi serbuan ini tiga lelaki tempatan berusia 38 hingga 31 tahun, seorang lelaki dan seorang wanita Myanmar berusia 31 dan 33 tahun serta seorang lelaki Singapura berumur 60 tahun ditahan.
"Dalam serbuan pertama PGA merampas antaranya 1,756 tin dan 541 botol minuman keras pelbagai jenama; 50 karton rokok; kereta Honda Accord; van Nissan MV 200, kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier dan BMW X6.
"Kita turut merampas wang tunai RM102,600; wang tunai SG$304 dan jam tangan jenama Rado Diaster," katanya dalam satu kenyataan pada malam Ahad.
Menurutnya, menerusi serbuan kedua pihaknya merampas 9,960 tin dan 1,114 botol minuman keras pelbagai jenama; 200 karton rokok serta sebuah MPV Perodua Alza.
"Hasil siasatan awal mendapati sindiket itu sudah beroperasi lebih empat tahun dan beberapa siri tangkapan dilakukan ke atas sindiket berkenaan, namun masih meneruskan operasi penyeludupan.
"Suspek warga Singapura dipercayai merupakan ketua atau dalang utama dalam sindiket tersebut yang dikenali sebagai Kenny," katanya.

Beliau memberitahu, nilai rampasan minuman keras dan rokok seludup berjumlah RM704,370 manakala keseluruhan nilai rampasan lebih RM1.1 juta.
"Tangkapan dan rampasanberjaya memutuskan sindiket pengedaran minuman keras dan rokok tidak bercukai sekitar Kulai dan Johor Bahru.
"Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai (IPD) Kulai untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA.
