
KUALA LUMPUR - Kerajaan dicadang memperkenalkan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) berbeza mengikut kategori barangan dan servis seperti dilaksanakan di India.
Timbalan Presiden Gerakan Pengguna Malaysia (GPM), Beninder Singh berkata, di India GST dibahagikan kepada empat segmen dengan kadar berbeza mengikut barangan dan perkhidmatan.
Menurutnya, kerajaan boleh mengecualikan cukai GST terhadap barangan keperluan asas, selain menetapkan kadar berbeza kepada produk dan perkhidmatan yang digunakan golongan berpendapatan tinggi.
“Ia lebih adil. Contoh seperti di India, GST dibahagikan kepada empat segmen dengan kadar berbeza mengikut barangan dan perkhidmatan. Mungkin kerajaan Malaysia boleh belajar dari India,” katanya kepada Getaran.

Beliau berkata, GPM sangat menyokong pelaksanaan GST kerana ia adalah cukai kepenggunaan, iaitu dibayar mengikut corak pembelian masing-masing.
Menurutnya, cukai tersebut juga dapat membantu kerajaan dalam usaha menjana pendapatan lebih stabil daripada hanya bergantung kepada eksport komiditi, malah kutipannya boleh disalur terus untuk membantu golongan berpendapatan rendah.
“Sekiranya GST adalah satu regim cukai tidak baik, tak mungkin 160 negara lain dalam dunia melaksanakannya, malah mereka tidak menghadapi sebarang masalah serius, kecuali isu pentadbiran pada permulaan pelaksanaannya.
“Jika (GST) tidak dibatalkan (di Malaysia), kami pasti kini sudah stabil pelaksanaannya dan faedah pula mula dirasai pengguna,” jelasnya.
Beninder pada masa sama menafikan bahawa harga barangan meningkat disebabkan pelaksanaan GST, sebaliknya ia disumbang pelbagai faktor semasa.
“Tidak tepat jika kita katakan bahawa harga barangan meningkat adalah disebabkan oleh hanya satu atau dua faktor.
“Sebaliknya faktor utama menyebabkan kenaikan harga barangan pada masa kini adalah pertukaran kadar mata wang asing, kestabilan geopolitik, gangguan rantaian pengedaran, peningkatan kadar gaji minima dan kekurangan tenaga kerja,” katanya.
Bagaimanapun, Beninder berkata, pihaknya percaya kenaikan harga barangan adalah bersifat sementara, sambil berharap pergolakan geopolitik dunia, terutamanya konflik Rusia dengan Ukraine berakhir dalam masa terdekat.
“Isu kenaikan harga barangan bukan hanya ‘unik’ kepada Malaysia sahaja, malah banyak negara mengalami masalah sama.
“Justeru tidak ada waktu yang baik untuk memperkenalkan sesuatu cukai. Sebaliknya kerajaan perlu melakukan perkara betul walaupun tidak popular,” katanya. – Getaran, 3 Jun 2022
