3 Faktor Utama Dorong Majikan Malaysia Gaji Pekerja Indonesia 

4 Jun 2022 • 12:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Jumlah pekerja asing pada akhir Ogos tahun lalu adalah seramai 1.1 juta atau 33.3 peratus dari Indonesia, manakala Bangladesh (28.7 peratus) dan Nepal (15 peratus). - Gambar hiasan pixabay

KUALA LUMPUR - Lebih rajin, tabah dan tidak banyak karenah adalah faktor utama menyebabkan majikan di negara ini, cenderung menggaji pekerja asing dari Indonesia.

Ditambah persamaan bahasa, budaya, makanan dan agama, membuatkan khidmat warganegara berkenaan didambakan. 

Bagaimanapun, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, di sebalik kriteria itu, terdapat tiga kekurangan dikenalpasti membabitkan pekerja asing dari Indonesia yang harus diberi perhatian.

image is not available
Dr Syed Hussain Syed Husman

Katanya, kekurangan tersebut adalah dari segi penguasaan bahasa Inggeris sebagai contoh dalam sektor pembantu rumah domestik.

“Penguasaan bahasa Inggeris pembantu rumah Indonesia adalah jauh lebih rendah daripada pembantu rumah dari Filipina, Kemboja dan Myanmar.

“Tahap pendidikan pekerja Indonesia juga adalah rendah berbanding negara sumber lain. Mereka terbiasa hidup di kampung dan ada segelintirnya berdepan kejutan budaya apabila tiba di Malaysia.

“Justeru, latihan sesuai harus diberi kepada pekerja dari Indonesia yang pertama kali datang ke negara ini supaya kekurangan tersebut dapat diatasi,” katanya kepada Getaran.

Berdasarkan rekod MEF, jumlah pekerja asing pada akhir Ogos tahun lalu adalah seramai 1.1 juta atau 33.3 peratus dari Indonesia, manakala Bangladesh (28.7 peratus) dan Nepal (15 peratus).

Sektor pembuatan menggajikan kira-kira 35.4 peratus pekerja asing, diikuti bidang pembinaan pada kadar 21.1 peratus dan sektor perkhidmatan (14.4 peratus).

Semalam, Getaran melaporkan, Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menggesa kerajaan untuk tidak bergantung kepada Indonesia sebagai sumber tunggal untuk menyelesaikan masalah kekurangan buruh asing dalam negara.

Setiausaha Agungnya, Dr Sukumaran Nair berkata, pihaknya mencadangkan agar kerajaan turut melihat kepada negara lain, seperti Bangladesh dan Nepal yang sentiasa bersedia menyumbang tenaga kerja asing kepada Malaysia.

Menurut beliau, inisiatif tersebut perlu dilaksanakan memandangkan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) yang sepatutnya tiba ke Malaysia pada 31 Mei lalu, tidak sampai seperti dijadualkan. – Getaran, 4 Jun 2022

View Original Article