7 Butir Bom Meletup Di Narathiwat, Tiada Kematian Dilaporkan

11 Jun 2022 • 8:58 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pada 26 Mei lalu, 3 anggota sukarelawan polis marin cedera dalam insiden letupan bom dan berbalas tembakan di Pekan Tak Bai yang terletak berhampiran sempadan Thailand-Malaysia. - Gambar fail dari Bangkok Post

NARATHIWAT - Pengebom meletupkan sekurang-kurangnya tujuh butir bom di dua lokasi di Narathiwat di selatan Thailand pagi Jumaat, tetapi tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Narathiwat, Pol Mej Jeneral Waesamae Salae berkata dalam kejadian pertama pada 7.30 pagi (waktu tempatan), empat bom jangka buatan sendiri meletup di tepi jalan di Jalan Yingo-Raman.

Kira-kira sejam kemudian, tiga bom yang diletakkan di tepi jalan meletup berhampiran lokasi letupan pertama.

“Skuad pemusnah bom mengambil masa kira-kira lima jam untuk memeriksa dan membersihkan tempat kejadian,” katanya pada sidang media semalam.

Media tempatan melaporkan Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO) dipercayai bertanggungjawab terhadap serangan itu, berikutan diketepikan daripada perbincangan antara kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) untuk menamatkan konflik bersenjata di selatan Thailand. - Bernama