Sultan Ibrahim, keluarga Diraja kunjungi kediaman Exco Johor

25 Jan 2020 • 12:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

JOHOR BAHRU - Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat mengunjungi kediaman Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse, di Senibong Cove di sini hari ini sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Baginda tiba pada jam 9 pagi dengan diiringi Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Turut berangkat, anakanda baginda, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

Ketibaan baginda disambut dengan tarian singa dan diteruskan dengan acara menggaul yee sang. Sultan Ibrahim turut berkenan mencalit dakwat di kepala singa sebagai simbolik perayaan itu sebelum bersantap.

Baginda yang meluangkan masa selama sejam turut merakamkan gambar kenang-kenangan bersama keluarga Puah sebelum berangkat pulang.

Sementara itu, Jimmy Puah yang ditemui pemberita berkata, ini adalah tahun kedua Sultan Ibrahim mengunjungi kediamannya.

"Saya menjunjung kasih atas kesudian baginda berkunjung ke rumah, baginda juga ada memberi pandangan bahawa betapa pentingnya semangat bangsa Johor yang tidak mengira kaum.

"Kehadiran baginda juga menunjukkan bahawa baginda sangat mesra dengan rakyat," katanya. - Bernama


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved