Sasaran 1 juta rumah mampu milik boleh dicapai - Rehda

2 Jul 2019 • 4:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

PETALING JAYA - Sasaran kerajaan untuk membina satu juta unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun adalah boleh dicapai, menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Malaysia.

Naib Presiden, Datuk N K Tong berkata bagaimanapun, orang ramai perlu memberi masa kepada pentadbiran kerajaan yang baharu.

“Satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun boleh dicapai sekiranya ada keazaman yang penuh dan saya berpandangan kerajaan ini memilikinya.

“Bagaimanapun, saya menjangkakan 100,000 unit pertama kediaman itu tidak akan disiapkan dalam tahun pertama. Berasaskan pandangan praktikal, tempoh pembinaan bagi pembangunan itu boleh mengambil masa sehingga empat tahun,” katanya dalam sidang media mengenai persidangan Bandar Lestari Berkelas Dunia (WCSC) 2019 yang akan diadakan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan akan melibat urus pihak berkepentingan, termasuk pemaju, persatuan pembeli rumah dan pelbagai badan kerajaan.

WCSC 2019 bertema ‘NEXT: KL2040’ akan memperincikan bagaimana Kuala Lumpur dan bandar lain boleh bersedia bagi menghadapi cabaran ke arah menjadi bandar lestari dan sesuai didiami berkelas dunia.

Persidangan antarabangsa sehari itu akan diadakan pada 19 September ini di sini.

WCSC 2019 bertujuan menyediakan platform yang bersifat konstruktif, terangkum dan aspirasi, serta sebagai arena rangkaian strategik untuk pengurus, perancang, arkitek, jurutera bandar selain pihak berkepentingan lain.

Acara itu dianjurkan bersama Rehda Kuala Lumpur, Pertubuhan Perancang Malaysia serta Pertubuhan Arkitek Malaysia. - Bernama


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved