IPOH - Polis akan menyerahkan laporan kimia dan perubatan berhubung kes seorang Exco Perak yang dikaitkan dengan tuduhan merogol pembantu rumahnya kepada Pengarah Pendakwaan negeri hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima laporan itu daripada Jabatan Kimia pada Isnin lalu.
"Laporan kimia dan perubatan daripada Jabatan Kimia dan hospital sudah diperoleh dan siasatan telah dibawa kepada Pengarah Pendakwaan negeri untuk tindakan selanjutnya," katanya selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.
Menurutnya, laporan perubatan itu kemudian akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara di Putrajaya untuk tindakan dan keputusan seterusnya.
Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol Exco yang juga majikannya di rumah lelaki itu di Meru.
Sementara itu, Razarudin berkata, polis masih giat mengesan empat suspek bertopeng dan bersenjatakan parang dalam kes samun barang kemas bernilai kira-kira RM1 juta di Jalan Chin Hwa, Taman Chateau di sini pada awal pagi Isnin lalu.
"Kes itu masih dalam siasatan dan kita yakin akan berjaya mengenal pasti semua suspek dalam masa terdekat," katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, dua pekerja lelaki berusia lingkungan 30-an dalam perjalanan membawa barangan kemas milik majikan menaiki dua kereta untuk dihantar ke Kelantan sebelum dirempuh sebuah lori dinaiki suspek yang kemudiannya melarikan empat beg berisi barang kemas terbabit. - Bernama
