KELANA JAYA - Pencapaian perwakilan Rumah Ngaji di seluruh Malaysia yang kini memasuki tahun keenam penubuhannya berada pada tahap membanggakan dan cemerlang.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub terharu dengan semangat yang ditunjukkan setiap perwakilan Rumah Ngaji yang konsisten menggunakan pelbagai idea untuk mendekatkan masyarakat dengan al-Quran.
“Perwakilan Rumah Ngaji Malaysia semakin berkembang hasil kerjasama perwakilan dan pencapaian ini sangat bermakna.
“Alhamdulillah, tahun 2020 adalah tahun ketujuh penubuhan Rumah Ngaji dan apabila menyingkap sejarahnya yang bermula dengan satu idea kecil dan kini semakin meningkat. Tahniah saya ucapkan atas kegigihan anda semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat untuk membawa hala tuju kempen World #QuranHour dan Malaysia #QuranHour dan program sepanjang tahun kepada hampir 50 perwakilan Rumah Ngaji seluruh Malaysia di sini kelmarin.
Menurutnya, pada asalnya program Rumah Ngaji diwujudkan bertujuan menyelesaikan masalah umat Islam di Malaysia tetapi kini memainkan peranan menyelesaikan masalah umat Islam di peringkat global.
“Tahun pertama kita menganjurkan World #QuranHour dengan hanya mendapat reaksi berbelas juta tetapi pada tahun lepas kita mendapat kira-kira 1.46 bilion di media sosial seluruh dunia.
“Bagi saya World #QuranHour sudah jadi satu jenama yang sangat bermakna memandangkan ia digerakkan oleh satu kumpulan yang kecil,” katanya.
Hussamuddin turut berkongsi mengenai tercetusnya tarikh untuk mengadakan kempen Uninstall Kebencian: Reboot #MalaysiaHarmoni.
“Ketika itu, saya baru selesai solat Asar dan idea untuk mengadakan kempen berkenaan pada 13 Mei bersamaan 20 Ramadan datang secara tiba-tiba. Saya terus berbincang bersama Ketua Pegawai WUIF, Marhaini Yusoff dan kumpulannya.
“Empat bulan lepas semasa kempen ini diuar-uarkan, masalah perkauman di negara ini tidak seteruk seperti sekarang. Sebenarnya ini persiapan ummah, kita pilih tarikh 13 Mei untuk Uninstall Kebencian: Reboot #MalaysiaHarmoni kerana berlaku pergaduhan antara umat Islam. Kerana itu jugalah surah Ar-Rahman dipilih sebagai tema,” katanya.


