Perjuangan PKR mesti tunjukkan kepedulian rakyat

Politics
5 Dec 2019 • 12:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

MUKADIMAH

Kongres Nasional PKR 2019 yang bakal berlangsung bermula hari ini hingga 8 Disember ini pastinya menjadi tumpuan bukan sahaja kepada ahli parti, tetapi seluruh rakyat negara ini.

Ini susulan berlakunya isu pergolakan dalaman tercetus di antara kem Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ke Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang saban hari dilihat semakin serius.

Bagaimanapun, Anwar dalam siri turun padang di beberapa negeri menegaskan parti itu masih teguh dengan menafikan sebarang perpecahan serius berlaku di peringkat dalaman PKR.

Ikuti wawancara eksklusif Sinar Harian bersama beliau bagi menyelami luahan dan harapan terhadap masa hadapan PKR kelak.

PKR akan adakan Kongres Nasional 2019, apakah harapan Datuk Seri sebagai Presiden?

Kongres seperti biasa kesempatan untuk mendengar akar umbi selain daripada gagasan daripada pimpinan. Saya fikir bagi parti yang sudah berjuang sekian lama dan kini ditampuk pemerintahan, diperingatkan tentang landasan perjuangan dan menggilap idealisme yang kadang-kadang ia mudah pudar apabila kita mentadbir.

Selepas 20 tahun PKR, dan berada di puncak kuasa, adakah Datuk Seri fikir idealisme yang diwujudkan semakin terhakis?

Ini lumrah, sejarah idealisme itu seringkali pudar dengan kilauan kuasa dan harta. Jadi ini bukan sesuatu yang unik atau tersendiri dengan pengalaman Keadilan (PKR). Tetapi dalam sejarah, kita diajar dalam sejarah Islam, dengan (khalifah) Umaiyah dan Abasiyyah dan kemudian tentang Revolusi Perancis, Russia dan juga dengan idealisme yang dicetuskan (Mahatma) Gandhi.

Saya ini peminat sejarah, harus mengajar kita. Tujuannya, harus sentiasa pimpinan itu terus mengingatkan dan ini tentu tidak akan mentenangkan semua pihak. Mereka fikir sudah di tampuk kekuasaan, dengan idealisme itu bukan menjadi pertimbangan.

Apabila menjelang kongres, hangat diperkatakan mengenai konflik dalaman, apa pandangan Datuk Seri?

Saya tidak nafikan perbezaan pendapat, tindakan dan pemecatan, tetapi saya fikir kita tidak mendapat liputan yang agak adil.

Semalam (kelmarin) saya di Perak, di antara cabang-cabang terbesar negara. Semua cabang hadir. Semua pimpinan hadir. Seorang Exco tak dapat hadir kerana dapat berita kakaknya meninggal dunia.

Tetapi persepsi di luar itu, kerana beberapa kenyataan pimpinan itu masih terus-terusan. Saya pergi hampir semua negeri melainkan Selangor kerana Menteri Besar, Amirudin Saari datang ke rumah bersama beberapa pimpinan yang mahu kongres ini dianjak kepada pertengahan Januari. Saya kata boleh.

Tetapi persepsi di luar ini seolah-olah dia membantah. Itu berbeza daripada apa yang saya perolehi. Kita lihat sekarang senarai perwakilan sudah lebih 85 peratus yang sudah daftar.

Kalau ada 10 peratus tidak setuju umpamanya, apakah itu bermakna perpecahan? Atau isu yang berat dalam parti untuk dapat 100 peratus daftar dan hadir, ia tidak mudah. Saya lama dalam UMNO sendiri pun, jadi apakah saya meremehkan perbezaan pendapat? Saya tidak.

Tetapi saya melihat parti ini, bukan soal Anwar, Azmin, Saifuddin. Tetapi soal parti sendiri, soal akar umbi. Ternyata mereka mahu supaya parti yang bersatu, mereka beri mandat kepada pimpinan dan mereka beri dukungan kepada semua acara-acara penting parti.

Itu yang Datuk Seri dapat rasakan?

Saya turun, setiap minggu saya ke bawah. Saya yakin lebih awal, politik itu bukan percaturan golongan yang elit, yang agak mereka pintar tentukan itu, tentukan dasar, tentukan pelaksanaan.

Politik itu jugs harus melibatkan rakyat, bermakna kepedulian. Kita kena turun ke bawah dan dengar.

Saya turun ke Perak. Sebagai contoh ucapan saya pada jam 10.45 malam. Saya sampai jam 8 malam. Dari jam 8 hingga 10.45 malam saya dengar sekitar 10 orang punya bicara. Wakil akademik, wakil orang asli, wakil orang muda, wanita dan beberapa perwakilan.

image is not available
Wawancara eksklusif Anwar bersama Sinar Harian di Bangunan Parlimen di sini semalam. - Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI

Itu berbeza daripada kita yang bercatur elit perebutan kuasa, elit di atas. Ada perbezaan yang nyata.

Sekali lagi saya ulang, ini bukan sesuatu yang terbatas pada pengalaman Keadilan tetapi ia suatu gejala yang lumrah berlaku dalam sejarah dan dunia politik umumnya, ada kuasa, masing-masing dengan kesibukan dan keriuhannya. Lebih mudah saya berunding dengan tokoh-tokoh besar tinggalkan di bawah.

Kita belajar daripada pengalaman Rasulullah SAW yang ditegur dalam al-Quran. Abdullah bin Mat Tom yang miskin dan buta, dah ambil kesempatan berdamping, berbincang untuk dapat pandangan Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW pada ketika itu terlalu sibuk dengan pembesar-pembesar Quraisy, penting untuk didulukan.

Tetapi saya selalu diperingatkan dengan kisah Amma iaitu dalam kesibukan kita bercatur di atas, jangan lupa yang daif, yang susah.

Tapi falsafah dunia politik yang tidak popular kerana tolong orang susah ni tak akan dapat komisen dan projek, tidak akan ada pengaruh di media, dan sosial media.

Berbeza dengan saya yang menjaga tokoh-tokoh besar dalam semua bidang ini. Ini pilihan seharusnya ingatkan kepada parti.

Adakah Datuk Seri fikir masalah dalam PKR ini ialah masalah yang ditimbulkan oleh segelintir pemimpin yang diketuai oleh Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali)?

Tidak adil untuk buat tudingan sedemikian kerana dia bukan masalah seorang. Kita peringatkan (perkara) ini kepada saya, semua rakan-rakan, semua pimpinan bahawa percaturan politik dan lanskap politik itu harus berubah.

Reformasi ini bukan sekadar perebutan untuk mendapat kekuasaan. Tapi saya ulang, ini adalah untuk mempastikan satu urus tadbir, good governants. Ini persoalan tentang etika dan akhlak.

Datuk Seri yakin Kongres kali ini adalah untuk menggabungkan semula kekuatan PKR?

Ia, berbeza daripada telahan dan tafsiran, persepsi yang pelbagai, semalam (kelmarin) saya sebut, ini akan jadi kejutan bahawa sebenarnya dalam parti ini ada berbezaan. Saya fikir ada ketelanjuran. Masalahnya adalah kerana kenyataan-kenyataan yang agak keterlaluan, terlanjur itu disebut di media.

Padahal ruang dalam parti itu, dalam mesyuarat itu ada.

Tetapi bila diberikan umpamanya pertimbangan bagaimana masa depan parti, apakah kita harus teruskan dengan senario sebegini atau mantapkan semula. Saya yakin, kebanyakan pimpinan, presidennya, timbalan presidennya, setiausaha agungnya akan bersama kevarah itu. Ini keyakinan saya dan Insya-ALLAH terbukti benar.

Dalam ucapan Datuk Seri di Perak, datuk seri ada cakap 'jangan sampai saya hilang sabar', Datuk Seri rujuk kepimpinan atau ahli biasa?

Biasalah saya berucap selama setengah jam. Tentang kebijaksanaan, saya punya optimistik. Jangan uji saya lama-lama. Itu tarikannyan kepada media. Tetapi kenyataan itu benar, saya ada sebut dan tidak nafikan. Saya kata tidak perlu buat kenyataan keterlaluan, merasakan ini mencabar komuniti. Tidak perlu.

Kerana saya sahabat, saudara...saya menganggap rakan-rakan ini satu keluarga. Kita kena peringatkan (mana-mana pihak tidak guna saluran parti). Sudahlah.

Kebetulan penganjuran kongres adalah medan sebaiknya bagi kita berdepan dengan perwakilan dan menyatakan kita ajak semua untuk kembali kepada landasan.

Kenapa sesetengah pihak tidak menggunakan saluran mesyuarat untuk menyatakan pandangan sebalinya memilih media?

Itu tidak betullah. Kongres adalah sebaik-baiknya. Kita berdepan perwakilan dan ajak semua untuk kembali ke landasan dan menerima peraturan biasa.

Bagaimana hubungan Datuk Seri dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali?

Hubungan saya dan dia sudah lebih empat dekad. Adalah pasang surutnya. Saya dalam politik ini, saya tidak bermusuh. Saya tidak suka unsur peribadi ini. Sebab itu mudah bekerja dengan sesiapa juga dan mudah memaafkan.

Kerana sifat itu, mungkin apa yang dilakukan Tun Mahathir sebelum ini pun masih Datuk Seri mampu memaafkan?

Kadang-kadang tidak bermakna kita tak rasa kecewa, derita. Kalau tahu hal sebenarnya, macam mana saya rasa dalam itu dulu, kalau tak simpati, harus akui liku-liku duka dan derita itu banyak.

Apabila kita teliti semula, apa yang kita inginkan, hidup saya dan perjuangan saya terlalu kuat soal derita rakyat.

Saya seorang yang sinis dalam politik. Saya juga merasakan saya salah pilih profesion, sepatutnya profesor atau media. Bicaranya tidak sama dengan dengan apa yang kita amalkan.

Keprihatinan terhadap derita rakyat itu cukup susah. Pengalaman saya dalam kerajaan dulu pun begitu juga. Tolong projek orang susah, buat rumah rakyat apa habuan dia?

Pengaruh daripada segi percaturan, kekuasaan paling minimum. Tetapi itu yang sepatutnya dilakukan oleh wakil rakyat.

Dalam tempoh setahun lebih PH memerintah, adakah Datuk Seri berpuas hati terhadap pentadbiran, kerana ramai mengeluh di luar?

Kita harus akui bahawa pentadbiran di bawah tun Mahathir adalah peralihan yang melibatkan politik, ‘social reform’, penjawat awam dan banyak lagi.

Harapan itu menggunung. Kita terima beberapa perubahan dibuat tetapi rakyat ini kurang sabar.

Tanjung Piai itu satu tamparan dan kejutan yang bagi saya dalam politik adalah malapetaka. Belum pernah berlaku dalam sejarah. Saya lihat dengan serius. Maknanya, kita harus melakukan sesuatu yang lebih untuk menunjukkan terutamanya program kepedulian rakyat.

Ya, sudah dimulakan. Ada hasrat dan kesungguhan dalam kepimpinan. Tetapi belum cukup lagi.

*DAPATKAN LAPORAN PENUH DALAM AKHBAR SINAR HARIAN HARI INI