Kerajaan pertimbang dana penyelenggaraan RM34.8 juta untuk Pulau Pinang

10 Dec 2019 • 5:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

GEORGETOWN - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang mempertimbang peruntukan RM34.8 juta di bawah dua dana penyelenggaraan kepada Pulau Pinang, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo.

Beliau berkata, sebanyak 44 daripada 133 projek penyelenggaraan perumahan di negeri ini telah dipertimbang untuk diberi kelulusan untuk pembiayaan daripada Projek Penyelenggaraan Perumahan (PPP) dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan (TPPM), semasa mesyuarat di Putrajaya 9 Disember lepas.

"Sebelas daripada 12 projek yang dicadang dipertimbang untuk mendapat kelulusan di bawah dana PPP berjumlah RM23 juta.

“Selain itu, 14 projek daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan 19 projek daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) juga dipertimbang untuk diluluskan di bawah skim TPPM masing-masing sebanyak RM4.8 juta dan RM7 juta," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri akan menerima maklum balas rasmi daripada kerajaan Persekutuan menjelang Februari tahun depan.

"Sekiranya kita diberikan peruntukan sebanyak itu berdasarkan apa yang diluluskan, Pulau Pinang mungkin menjadi satu daripada penerima manfaat terbesar bagi dana penyelenggaraan perumahan," katanya.

Semasa membentangkan Bajet 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan sejumlah RM100 juta akan diketepikan untuk skim pembiayaan TPPM dan PPP.

Pada 14 November Jagdeep berkata, surat permohonan telah dihantar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pada 30 Ogos untuk memohon dana RM100 juta terdiri daripada PPP (RM28 juta) dan TPPM (RM72 juta) untuk penyelenggaraan serta menaik taraf kemudahan perumahan di Pulau Pinang.

Katanya, dana penyelenggaraan itu akan digunakan untuk membaiki, menggantikan dan menaik taraf kemudahan perumahan dengan keutamaan diberikan ke atas lif, tangki air serta bumbung. - Bernama


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved