TIada penganjuran Bazar Ramadan pandu lalu: Sultan Johor

15 Apr 2020 • 3:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menitahkan agar bazar Ramadan secara pandu lalu tidak dilaksanakan di negeri ini berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19(.

Titah baginda, pasukan barisan hadapan negara ketika ini sedang berjuang habis-habisan bagi mengekang penyebaran wabak tersebut.

“Saya khuatir jika dilaksanakan bazar Ramadan secara pandu lalu, maka akan timbul isu kesesakan jalan raya sehingga menambahkan lagi beban (tugas) anggota penguatkuasa.

"Malah kemungkinan berlaku risiko kontak rapat dan sekiranya timbul kluster baharu, bagaimana kita hendak mengawal virus ini,” titah baginda yang dimuat naik di Facebook rasmi baginda hari ini.

Sultan Ibrahim turut bertitah agar rakyat di negeri ini terus sabar dan tabah dalam menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa ketiga.

"Sabar itu separuh daripada iman. Tolonglah bersabar dan jangan ingkar perintah PKP. Pastikan anda hanya keluar jika ada sebab yang munasabah.

"Saya sendiri juga berkurung dan tidak ke mana-mana, jadi saya amat memahami rasa kurang senang berikutan tidak dapat menjalani rutin harian seperti biasa," titahnya.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima kunjungan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani. - Bernama


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved