PRU15: Gabungan UMNO-Pas bakal bentuk kerajaan

Politics
30 Sep 2019 • 7:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Sinar PM 30 September 2019

PRU15: Gabungan UMNO-Pas bakal bentuk kerajaan

UMNO yakin bakal membentuk kerjasama jitu bersama Pas berdasarkan pengalaman dan kelebihan masing-masing bagi membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu mempunyai keseimbangan dan titik persamaan walaupun sebelum ini pernah bertelagah.

Menurutnya, gabungan kedua-dua parti bakal memberi impak selepas membentuk kerjasama secara rasmi.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, kekalahan BN dan Pas pada pilihan raya lalu ternyata memberi hikmah besar dengan menyaksikan penyatuan umat Islam melalui kerjasama atau ta'awun siyasi kedua parti itu.

Kes Adib: Polis tunggu arahan Peguam Negara

Polis masih menunggu arahan lanjut daripada Peguam Negara berhubung kes kematian anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Balai Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kasim.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan kes tersebut tidak pernah ditutup.

Pada Jumaat lalu Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh sekumpulan individu tidak dikenali.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam USJ 25 Subang Jaya.

Gajah pygmy dibunuh kejam, 70 peluru ditemui di badan

Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga, berkata banyak peluru ditemui dalam badan gajah betina itu sekali gus memberi bayangan keadaan gajah itu bertarung menahan kesakitan akibat terkena tembakan senjata api.

Bagaimanapun, Augustine tidak mahu mengulas lanjut perkara itu kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan yang masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian gajah sekali gus mengumpul bukti kukuh untuk membolehkan pihak tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan itu dihadapkan ke mahkamah.

36 tahanan wanita lari dari penjara Sulawesi Tengah

Seramai 36 tahanan wanita berjaya melarikan diri apabila sebahagian bilik di penjara wanita di Sigi, Indonesia musnah dalam satu kebakaran semalam.

Ketua Polis Sigi, Wawan Sumantri berkata seramai 45 daripada 103 tahanan wanita berjaya melarikan diri.

Bagaimanapun pihaknya berjaya menangkap semula sembilan orang termasuk tujuh daripadanya ditangkap ketika bersembunyi di rumah penduduk manakala dua lagi ditahan ketika pergi ke bandar Palu.

Tambahnya, sehingga kini belum diketahui punca kebakaran dan pihaknya sedang menyiasat kes tersebut.

E-sukan bakal diperkenal di sekolah menengah Kuala Lumpur

Presiden ESKL, Hisham Darus berkata, ia akan dilaksanakan menerusi penubuhan kelab-kelab e-sukan dengan tujuan memberi pendedahan serta pemahaman kepada ibu bapa dan pelajar mengenai potensi sukan berasaskan permainan video itu.

Beliau berkata, pihaknya telah berhubung dengan beberapa agensi di bawah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam memastikan misi itu dapat dijayakan seawal bermula sesi persekolahan tahun depan.