Tenaga Nasional Dalam Perbincangan Untuk Menguji Sambungan Internet Jalur Lebar Di Negeri Perak

TechnologyDigital
19 Sep 2019 • 10:25 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sewaktu majlis pelancaran Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang di Putrajaya, ia turut diumumkan bahawa Tenaga Nasional akan menguji teknologi gentian optik mereka di negeri Perak bermula bulan ini.

Tenaga Nasional pada mulanya menguji kemampuan mereka untuk membekalkan sambungan internet gentian optik di Jasin, Melaka pada penghujung tahun lalu, dan sejak itu, telah terus membekalkan sambungan internet pantas ke beberapa kawasan lain di negeri tersebut, dengan kelajuan sehingga 900Mbps.

image is not available

Melalui sebuah slaid yang tertera di sebuah paparan skrin, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu mengatakan bahawa Tenaga Nasional sedang berada dalam perbincangan bersama-sama dengan kerajaan negeri dan juga Perak Digital Corporation untuk membina infrastruktur dan mula menguji sambungan internet jalur lebar berkelajuan tinggi di pinggiran bandar Ipoh bermula dari bulan September hingga bulan Disember kelak.

Dengan perkembangan ini, terdapat kemungkinan bahawa Tenaga Nasional bakal menjadi satu lagi kuasa besar infrastruktur jalur lebar di Malaysia, samada sebagai pembekal infrastruktur, ataupun perkhidmatan internet jalur lebar seperti Telekom Malaysia ataupun Time.