Raspberry Pi merupakan komputer bersaiz kad kredit, yang membolehkan anda menjadikannya sebagai peranti berhubung, peralatan pintar, dan komputer peribadi. Ia telah melalui tiga generasi, dan kini, ia telah memasuki generasi ke-empat dengan perkenalan sejumlah fungsi moden.
Raspberry Pi 4 Model B telah membawa peningkatkan yang ketara berbanding generasi sebelumnya, dengan perletakkan cip pemprosesan Broadcom empat-teras 1.5 GHz. Ia juga hadir dengan sokongan H.265, memori sehingga 4GB RAM, dan mampu memaparkan paparan 4K @ 60fps melalui 2x sambungan mikro-HDMI.
Apa yang menarik lagi, ia juga menyertakan sejumlah sambungan terkini, seperti 2x USB 3.0 (penambahan kepada 2x USB 2.0) dan Bluetooth 5.0. Bagi membolehkan pengguna menikmati sambungan internet yang lebih pantas, ia juga menyertakan sambungan WiFi 802.11ac berserta sambungan ethernet gigabit.
Rasberry Pi 4 Model B telah ditawarkan dalam tiga pilihan variasi, iaitu 1GB RAM ($39 / ~RM145), 2GB RAM ($45 / ~RM187), dan 4GB RAM ($55 / ~RM228). Ia boleh didapati melalui laman rasmi Raspberry Pi dengan sejumlah penawaran aksesori yang menarik untuk dipadankan padanya.

