Covid-19: Ibu Pejabat UDA dibersihkan, kawalan keselamatan dipertingkat

3 Mar 2020 • 12:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUALA LUMPUR – UDA Holdings Berhad (UDA) telah mengambil langkah proaktif dengan melakukan pembersihan Ibu Pejabat UDA di Blok Menara, Kompleks Pertama petang semalam.

Kerja-kerja membasmi kuman itu dilakukan selepas Pengerusi UDA, Datuk Hisham Hamdan dan seorang Ahli Lembaga Pengarahnya disahkan positif koronavirus (Covid-19).

UDA dalam satu kenyataan berkata, semua kakitangan di lokasi itu telah dibenarkan untuk pulang awal bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan dibuat.

“UDA sentiasa komited melaksanakan langkah-langkah perlu mengikut saranan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengelakkan penularan wabak ini khususnya di Ibu Pejabat UDA,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

image is not available
UDA sentiasa komited melaksanakan langkah-langkah perlu mengikut saranan KKM bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 khususnya di Ibu Pejabat UDA. -FOTO: IHSAN UDA

Menurut kenyataan itu, UDA telah menghadkan aliran keluar masuk orang luar ke ibu pejabat dalam mempertingkatkan kawalan keselamatan dan tahap kesihatan selain turut menjalankan saringan kesihatan dan pemeriksaan suhu di lobi ibu pejabat.

Katanya, pelawat dan kakitangan turut disediakan dengan penutup muka dan hidung dan pembasmi kuman tangan sebagai langkah berjaga -berjaga.

“Antara inisiatif lain yang turut diambil oleh UDA bagi menjaga kebajikan kakitangan dan membendung kes ini, semua kakitangan UDA di ibu pejabat bekerja dari rumah bermula hari ini sehingga diberitahu kelak,” katanya.