Ingkar PKP untuk memancing!

1 Apr 2020 • 2:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KEPALA BATAS - Seramai 24 individu ditahan kerana ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk lima lelaki warga asing dalam Ops Covid-19 di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, walaupun PKP telah masuk fasa ke dua namun masih ada yang degil dengan keluar tanpa alasan munasabah, melepak malah ada yang ditahan ketika leka memancing.

Menurutnya, dalam operasi yang dilakukan itu pihaknya turut merampas sejumlah dadah jenis ketamin dan eramin 5 daripada dua lelaki yang dikesan sedang berbual-bual di tepi jalan di Mak Mandin malah ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap kedua-duanya mendapati mereka positif dadah.

"Semasa rondaan dilakukan di kawasan Kampung Permatang Tok Brain kira-kira jam 5.45 petang, kita mengesan empat lelaki sedang melepak di kawasan tepi sawah.

"Selepas amaran untuk beredar tidak diendahkan kesemua mereka ditangkap kerana ingkar dengan PKP," katanya ketika dihubungi di sini.

Noorzainy berkata, pemeriksaan di Jalan Bagan Ajam, Butterworth pula pihaknya menahan enam lelaki yang sedang berkumpul di belakang sebuah kedai dan hasil pemeriksaan lanjut polis menemui 75 bungkus air ketum di lokasi berkenaan.

Katanya, kesemua yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Butterworth bagi mendapatkan perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Selain itu mereka akan turut disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

"Kerjasama orang ramai dalam mematuhi PKP ini sangat diharapkan untuk memastikan rantaian wabak Covid-19 dapat diputuskan,"katanya.




Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved