BUKIT DAMANSARA - Seramai sembilan daripada 11 bekas ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang keluar parti serta Pakatan Harapan (PH) dilihat berada di kediaman Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini sejak petang tadi selepas beliau diumumkan sebagai calon Perdana Menteri kelapan parti itu hari ini.
Bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dilaporkan tiba pada jam 5.22 petang dengan menaiki kereta berasingan.
Sementara itu, tujuh yang lain termasuk Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian difahamkan tiba pada jam 6 petang.
Bagaimanapun kelibat bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak kelihatan.
Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang itu kemudiannya dilihat beredar keluar dari kediaman Muhyidin pada jam 6.22, sementara yang lain masih berada di kediaman tersebut.
Zuraida bagaimanapun enggan mengulas intipati pertemuan dengan Muhyiddin dan terus memasuki kenderaannya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga difahamkan hadir ke kediaman Muhyiddin dan beredar pada jam 5 petang.
Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya memaklumkan Bersatu sepakat mencalonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat ahli-ahli Dewan Rakyat Bersatu yang dihadiri seramai 36 ahli Dewan Rakyat Bersatu di Yayasan Al-Bukhari, Taman Perdana hari ini.
