'Tak puas hati, penyokong Azmin keluar dewan'

Politics
7 Dec 2019 • 5:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

MELAKA -Balik, keluar! Itu yang dilaungkan ratusan perwakilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sambil mereka bertindak keluar dewan dan meninggalkan Kongres Nasional parti itu yang sedang berlangsung.

Tindakan itu dipercayai dilakukan perwakilan yang tidak berpuas hati dengan perjalanan kongres dan ucapan mengkritik Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tindakan keluar dewan secara beramai-ramai itu berlaku sekitar jam 3 petang selepas perwakilan dari Pulau Pinang, Gooi Hsiao-Leung sedang rancak menyampaikan ucapannya.

Kebanyakan mereka yang bertindak meninggalkan kongres ketika ditemui Sinar Harian menyatakan rasa tidak senang mereka terhadap ucapan yang dibuat oleh perwakilan parti pada kongres tersebut.

Seorang ahli yang terbabit, Gunasegaran Kuppan dari dari Hulu Selangor yang ditemui kecewa apabila senarai perwakilan yang dibenarkan untuk berucap kebanyakannya mengkritik Azmin.

Menurutnya, ahli sentiasa menyokong Presiden yang berjanji untuk menyatukan parti tetapi ada ucapan dilihat seperti mahu memecahkan parti dan provokasi tidak sepatutnya berlaku.

"Kita sebagai ahli datang dari jauh sebab nak dengar perwakilan berbahas. Parti ini (PKR) adalah parti pemerintah. Bincanglah pasal usul-usul dan manifesto. Ini pula hentam, hentam.

"Saya datang dari jauh ke Melaka tetapi sampai sini hampa apabila kongres ini menjadi medan untuk menghentam," katanya.

Terdahulu, beberapa perwakilan yang berucap dilihat mengkritik Azmin.

Sebelum ini PKR dilihat seolah olah mempunyai dua kem iaitu pihak menyokong Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kem yang menyokong Azmin.

Bagaimana kedua- dua pemimpin terbabit dilihat menggunakan nada yang lembut dan cuba menerapkan perdamaian dalam kalangan penyokong masing-masing walaupun 'protes' semakin jelas kelihatan.