ASUS ROG Phone 2 Dilaporkan Akan Hadir Dengan Skrin 120Hz

12 Jun 2019 • 4:34 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

ASUS pada sebelum ini telah hadir dengan ROG Phone iaitu telefon berasaskan permainan dengan sokongan aksesori menarik. Nampaknya mereka kini dalam persediaan untuk melancarkan model penggantinya dengan penyertaan sejumlah fungsi yang lebih menarik.

Salah satu perkara yang disahkan akan hadir pada ROG Phone 2 ini adalah sokongan skrin 120Hz. Ia diperlihatkan melalui sebuah poster, yang memperlihatkan gambaran animasi ketika dipaparkan dalam 60Hz dan 120Hz. Paparan 120Hz membolehkan setiap pergerakkan di dalam skrin kelihatan lebih lancar, seperti mana yang dilihat pada fungsi ProMotion untuk iPad Pro.

image is not available

Dengan penyertaan fungsi ini, ia sekaligus meletakkan ROG Phone 2 ini sebagai telefon ketiga yang menyokong skrin 120Hz – selepas Razer Phone dan Razer Phone 2. Pihak Tencent Games dilaporkan akan hadir dengan permainan yang dioptimasikan untuk skrin peranti ini, namun tidak diketahui apakah jenis permainan yang akan ditawarkan.

Beberapa info lain turut kedengaran, seperti kehadiran cip Snapdragon 855 dan pilihan memori sehingga 12GB RAM. Ia juga dijangka akan membawa sistem penyejukkan yang lebih baik, selain menyajikan rekaan peranti permainan yang unik seperti model sebelum ini.

Bagi anda yang menantikannya, ROG Phone 2 dijangka akan dilancarkan pada Julai ini, namun tiada sebarang harga dikongsikan setakat ini.