Agong berkenan adakan sidang video bersama Ismail Sabri

4 May 2020 • 6:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang video.

Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, Seri Paduka berkenan mengambil maklum mengenai peranan dan usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut kenyataan itu, dalam sesi selama 20 minit itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengambil maklum langkah dan tindakan dilaksanakan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memperketatkan kawalan sempadan negara dan menangani isu pencerobohan pendatang asing.

"Seri Paduka turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak kerajaan khususnya petugas barisan hadapan yang telah bertungkus-lumus dalam memastikan penularan wabak (koronavirus) Covid-19 ini dapat dihentikan," menurut kenyataan itu. - Bernama