SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor mengagihkan lebih RM27.6 juta kepada 60,312 asnaf fakir, miskin dan mualaf di di negeri ini menjelang Ramadan dan sambutan Hari Raya.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop berkata LZS pengagihan dana itu bagi membolehkan penerima zakat membuat persiapan Ramadan dengan lebih sempurna dalam tempoh negara menghadapi Covid-19 di samping dapat menumpukan kepada ibadah.
"Daripada jumlah itu, sebanyak RM19.1 juta diagihkan kepada golongan miskin, RM7.2 juta pula fakir dan RM1.3 juta untuk asnaf mualaf," katanya pada sidang akhbat khas LZS hari ini.
Beliau berkata, daerah Klang mencatatkan bilangan paling ramai menerima bantuan iaitu kira-kira 11,571 penerima dengan nilai bantuan sebanyak RM5.3 juta.
Menurutnya, daerah Petaling pula seramai 9,536 membabitkan RM4.7 juta, Hulu Langat seramai 9.068 penerima (RM4.2 juta), Kuala Selangor seramai 6,845 penerima (RM3.1 juta), Gombak seramai 6.078 penerima (RM2.8 juta) Hulu Selangor seramai 5,372 penerima (RM2.5 juta).
"Selain itu daerah Kuala Langat seramai 4,782 penerima (RM2.2 juta), Sabak Bernam seramai 4,694 penerima (RM2.0 juta) dan Sepang seramai 2,366 penerima (RM1.1 juta)," katanya.
Menurutnya, setiap penerima mendapat bantuan zakat di antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan.
"Wang zakat ini akan disalurkan dengan lebih selamat dan efisien pada awal Mei depan melalui pembayaran yang dikreditkan terus ke akaun asnaf, kaedah V-Cash (baucer tunai) yang membolehkan ketua keluarga tidak memiliki akaun bank untuk mengeluarkan wang bantuan zakat di mana-mana cawangan Bank Islam.
"Pemberian tunai hanya bagi kes tertentu seperti warga emas, individu yang sakit terlantar dan akaun bank bermasalah," katanya.

