HULU SELANGOR - [DIKEMASKINI] Polis menahan seorang lelaki yang memandu secara melulu dipercayai dalam keadaan mabuk di kawasan tapak penjaja di Bukit Sentosa di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamarrudin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, suspek yang memandu sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux mengakibatkan empat individu termasuk seorang wanita cedera.
"Suspek berusia 32 tahun itu sudah ditahan untuk siasatan lanjut. Siasatan awal mendapati suspek dalam keadaan mabuk memaki hamun anggota polis yang sedang bertugas di kaunter pertanyaan Balai Polis Bukit Sentosa, sebelum dia melanggar orang awam dan gerai makanan di tapak penjaja itu.
"Mangsa yang cedera berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun, namun kesemua mereka dilaporkan stabil," katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, setakat ini, polis mengenal pasti dua kereta, dua motosikal dan dua khemah di tapak penjaja itu yang mengalami kerosakan akibat dilanggar suspek.
"Kita telah menerima lima laporan polis daripada peniaga gerai dan mangsa." katanya.
Terdahulu, beberapa gambar dan dua video berdurasi 44 saat dan 1 minit 9 saat insiden itu tular di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.
Terdapat video memaparkan beberapa anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan orang awam membaling kayu dan objek keras ke arah kenderaan itu dipercayai untuk menghentikan kenderaan tersebut.
Bagaimanapun kenderaan berkenaan dilihat merempuh gerai makanan.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu rempuh orang ramai di bazar Ramadan?


![Pemandu Mabuk Buat Hal, Menggila & Langgar Orang Ramai Di Tapak Bazar [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/cars.jpeg)