Android 10 Mempunyai Isu Kestabilan Sistem Yang Menyebabkan Masalah Membeku & Peranti Tidak Responsif

TechnologyDigital
21 Apr 2020 • 8:29 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Android 10 adalah sistem operasi Android generasi baharu dari Google. Ia tidak menggunakan nama pencuci mulut lagi, dan hanya menggunakan nombor agar lebih universal. Seperti kebanyakan sistem operasi, tidak ada satu pun sistem operasi yang 100% sempurna dan pasti akan ada masalah. Cuma masalah tersebut adalah kritikal ataupun tidak.

Terkini, ramai pengguna Android 10 melaporkan masalah sistem yang membeku dan peranti terus tidak responsif. Isu ini berlaku apabila sesuatu aplikasi membeku, ia akan menjadikan keseluruhan sistem terus tidak responsif. Tidak kiralah ingin cuba kembali ke skrin utama atau menatal untuk akses panel talam notifikasi – semuanya tidak akan berfungsi kecuali dengan mengunci peranti.

Masalah ini dilihat terkesan kepada majoriti pengguna Google Pixel dan hanya segelintir pengguna OnePlus dan Xiaomi sahaja terkesan. Antara aplikasi yang menyebabkan masalah ini adalah Amazon, Twitter, YouTube, YouTube Music, dan Google Play Store. Masalah ini tidak berhenti pada Android 10, kerana pihak Android Police turut menghadapi masalah yang sama pada Android 11 yang dijalankan pada Pixel 3.

Jelas di sini, masalah ini berada dalam kod Android 10 dan bukannya masalah pada aplikasi atau peranti. Pengguna custom ROM Android 10 Lineage OS 17.1 turut mengalami masalah yang sama. Buat masa ini, Google masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan hal ini. Sama-sama kita nantikan informasi lanjut kelak.