SHAH ALAM - Pemberian notis perobohan premis haram yang dibina di tanah rizab jalan di kawasan Selayang Baru bagi tujuan projek pelebaran, perlu dibuat tanpa 'pilih bulu' kepada semua peniaga di situ.
Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, beliau menerima maklumat bahawa notis tersebut diberikan hanya kepada penjaja kecil di kawasan berkenaan semalam tetapi tidak kepada peniaga-peniaga besar yang memiliki bangunan perniagaan di situ.
Beliau berkata, tindakan itu seolah-olah 'pilih bulu' dan seperti wujud perlindungan atau kekebalan yang dipercayai didalangi orang politik.
Menurutnya, berdasarkan pelan pelebaran jalan yang akan dilaksanakan di situ, ia akan melibatkan beberapa bangunan dimiliki peniaga-peniaga besar yang didapati dibina sehingga 25 meter memasuki ke kawasan tanah Wilayah Persekutuan.
"Saya dimaklumkan pemilik bangunan itu mendapat kebenaran menduduki sementara tetapi sudah tamat tempoh. Mereka juga sudah memohon untuk sambungan kebenaran menduduki tetapi masih belum diluluskan.
"Apabila projek pelebaran hendak dilakukan di situ, saya pasti permohonan itu tidak akan diluluskan.
"Sebab itu saya mohon kepada Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan jangan 'pilih bulu' dan hantar notis perobohan premis kepada semua peniaga besar dan kecil di situ, tambah lagi ada peniaga yang bina bangunan sehingga masuk ke kawasan tanah Wilayah Persekutuan," katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan penguatkuasaan yang lemah serta longgar oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi antara punca yang menyebabkan pemilik premis perniagaan haram di tanah rizab jalan di kawasan Selayang Baru menjadi 'besar kepala'.
Penguatkuasaan tidak dibuat menyeluruh dan tertumpu kepada peniaga-peniaga kecil sementara peniaga-peniaga besar terselamat.
Sulaiman berkata, syarat bagi mendirikan bangunan di tanah yang diduduki sementara adalah bangunan itu perlu dibina berasingan dan tidak boleh bersekali dengan bangunan yang didirikan di tanah kekal.
"Ini disebabkan tanah itu adalah peruntukan sementara dan bangunan dibina di situ boleh diroboh pada bila-bila masa," katanya.
Dalam pada itu, Sulaiman berkata, beliau juga akan membuat laporan berhubung perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat bagi menyiasat kemungkinan besar wujud perlindungan kepada peniaga-peniaga besar di kawasan tersebut.

