Microsoft Tidak Lagi Menawarkan Perlesenan Windows Kepada Huawei

28 May 2019 • 2:40 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Microsoft pada sebelum ini telah mengeluarkan kesemua produk komputer Huawei daripada halaman Microsoft Store, berikutan daripada sekatan perdadangan antara Huawei dan Amerika Syarikat. Namun kini pihak Microsoft terpaksa melakukan langkah dengan lebih drastik, iaitu dengan menghentikan perlesenan Windows ke atas komputer keluaran Huawei ini.

Mengikut laporan daripada SCMP, tindakan ini menyebabkan kesemua produk komputer akan datang daripada Huawei tidak dapat menjalankan sistem operasi Windows secara sah. Sekiranya ia berjaya dipasang, Huawei masih memerlukan lesen untuk membolehkan Windows dijalankan tanpa sebarang sekatan.

Isu ini berlaku selepas Presiden A.S. meletakkan Huawei di dalam ‘Entity List’ iaitu senarai syarikat yang disenarai hitamkan daripada menjalinkan hubungan perdagangan bersama A.S. Ia menyebabkan Huawei kini tidak dapat menggunakan produk yang dibangunkan oleh syarikat A.S. – termasuk Windows dan Android.

Untuk peranti sedia ada, ia tidak terkesan daripada isu ini termasuk peranti yang sedang dijual atau sedang digunakan oleh pengguna. Pengguna masih boleh menikmati Windows seperti biasa, disamping dapat menikmati kemaskini seperti sebelum ini.

Walau bagaimanapun, hubungan Huawei dan Microsoft ini bukanlah berkekalan, tetapi mungkin untuk sementara waktu. Hubungan kedua-dua pihak ini dijangka akan kembali semula dalam tempoh tertentu, mengikut kepada kata putus dan rundingan yang akan dibuat.

View Original Article