KUALA LUMPUR - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah menangguhkan urusan pembayaran kepada peneroka, pembekal, kontraktor dan vendor susulan proses pembersihan dan nyahkuman di Menara Felda mulai 20 Mac lepas bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).
Bagaimanapun, Felda dalam satu kenyataan memaklumkan, pembayaran berjumlah RM13.83 juta kepada peneroka yang mendaftar akaun bank telah dilaksanakan mengikut jadual pada minggu ini manakala baki bayaran peneroka serta pembayaran kepada pembekal, kontraktor dan vendor akan dilaksanakan pada 1 April.
Menurut Felda, usaha pembersihan dan nyahkuman secara menyeluruh yang dijangka selesai pada 25 Mac 2020 itu adalah sepertimana disarankan oleh Kementerian Kesihatan.
“Penangguhan bayaran tersebut hanya melibatkan pembayaran tunai kepada peneroka serta pembayaran cek untuk pembekal, kontraktor dan vendor.
“Pengurusan Felda memahami dan prihatin terhadap semua pihak yang terjejas susulan keputusan penangguhan pembayaran ini,” katanya.
Sehubungan itu, agensi itu meminta peneroka terbabit membuka akaun bagi yang belum berbuat demikian dan/atau mengaktifkan akaun sedia ada untuk memudahkan transaksi bayaran secara pindahan bank dalam talian tanpa melibatkan urusan pembayaran tunai di tanah rancangan.
Felda juga menggesa warga peneroka, pihak kontraktor dan pihak berkepentingan yang terjejas akibat Covid-19 untuk bersabar serta memahami situasi tersebut.
“Pengurusan Felda sentiasa memandang berat dan akan mencari jalan penyelesaian terbaik menangani kesukaran ini. Malah, sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. - Bernama
