KUANTAN - Akibat terpengaruh kata-kata manis lelaki yang dikenali melalui Instagram, seorang pegawai optometri di sebuah hospital di sini mengalami kerugian RM24,000 minggu lalu.
Mangsa berusia 38 tahun itu diperdaya sindiket penipuan kiriman bungkusan palsu daripada lelaki warga Amerika Syarikat dan United Kingdom yang dikenali melalui aplikasi sosial tersebut pada November lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menerima panggilan telefon daripada individu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6 Disember lalu.
"Panggilan itu mengenai bungkusan melalui perkhidmatan pos dihadiahkan kenalan mangsa dari luar negara sebagai tanda persahabatan, namun mangsa perlu memasukkan wang RM20,500 ke dalam akuan seorang wanita secara berperingkat iaitu pada 6 dan 7 Disember lalu jika mahukan hadiah tersebut.
"Mangsa memasukkan wang sebanyak RM3,500 sebelum menyedari dia ditipu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

