KLANG - Hari Polis ke-213 amat bermakna buat kakitangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan apabila mereka diraikan pihak luar sebagai menghargai jasa dan peranan pejuang barisan hadapan itu khususnya dalam menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Pertubuhan 99 Kebajikan Insan (Kesan) mengambil inisiatif meraikan Hari Polis dengan mengedarkan sebanyak 300 pek makanan tengah hari.
Penasihatnya, Datuk Nor Shabudin Monil berkata, walaupun negara sedang berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang virus Covid-19, namun pihaknya tampil bagi meneruskan tradisi meraikan Hari Polis.
"Disebabkan sedang berada di bawah PKP, maka kita ubah tradisi dengan menyantuni anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di beberapa sekatan jalan raya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hadir sama sewaktu majlis penyerahan sumbangan berkenaan ialah Pengerusi 99 Kesan, Muhd Ali Zakariah.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan tiada sambutan Hari Polis ke-213 dalam tempoh pelaksanaan PKP.
Dalam pada itu, Nor Shabudin turut mengingatkan masyarakat patuh terhadap arahan kerajaan termasuk lanjutan tempoh PKP bagi memastikan jangkitan Covid-19 dapat dihentikan.
"Virus ini bukan musuh yang boleh dilihat dengan mata kasar sebagaimana penjenayah.
"Betapa berat tugas anggota polis dan ATM. Justeru kepada rakyat Malaysia, duduklah di rumah bagi memastikan virus Covid-19 dapat dikekang daripada berjangkit," katanya.

