Remaja hantar pulang mayat kekasih direman empat hari

13 Apr 2020 • 4:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUANTAN - Pelajar Tingkatan Lima yang menghantar dan meletakkan mayat kekasihnya di garaj rumah keluarga perempuan itu di Felda Keratong 10, Rompin semalam direman selama empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Azari Miskon berkata, remaja berusia 17 tahun itu direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Selain itu, suspek yang beralamat di Felda Keratong 5 juga disiasat mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan.

"Bedah siasat di Hospital Muadzam Shah ke atas mayat mangsa berusia 17 tahun itu juga mengesahkan punca kematian adalah disebabkan cedera parah di kepala akibat kemalangan jalan raya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tinggal mayat kekasih di garaj kerana panik

"Mangsa dipercayai meninggal dunia semasa dalam perjalanan dari lokasi kejadian ke garaj tempat mayatnya ditinggalkan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Semalam media melaporkan penemuan mayat seorang remaja perempuan di garaj kenderaan yang dipercayai ditinggalkan oleh teman lelakinya selepas mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya kira-kira 15 kilometer dari rumah mangsa.

Kemalangan berhampiran kilang sawit Felda Keratong 3 sekitar jam 3.30 pagi itu dipercayai berlaku selepas motosikal ditunggangi mereka untuk bersiar-siar terlanggar kerbau yang berada di tengah jalan. - Bernama


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved