Kemaskkini 13.2 diberikan awal minggu ini bagi memberikan sokongan AirPods Pro, tampalan sekuriti dan 70 emoji baharu. Tetapi ia turut menimbulkan masalah baharu yang membuatkan penggunaan peranti menjadi kurang memuaskan. Menurut laporan MacRumors, ramai pengguna kini melaporkan masalah pengurusan memori yang terlalu agresif.

Masalah pengurusan memori yang agresif ini sebenarnya bukan perkara baharu. Di dalam ulasan iPhone 11 Pro Max yang telah diterbitkan, kami ada merungut aplikasi akan disegar semula walaupun selepas menggunakan empat aplikasi. Pada waktu tersebut kami masih menggunakan iOS 13.1.2. Pada iOS 13.2 kami masih dapat melihat masalah yang sama. Oleh sebab itulah kami mengatakan ia bukanlah peranti Pro sebenar.
Secara peribadi kami dapat melihat Twitter disegar semula pada iPhone 11 Pro Max selepas kami membuka aplikasi kamera untuk mengambil gambar. Adalah mengecewakan dengan hanya menukar satu aplikasi, Twitter perlu disegar semula. Ini tidak berlaku pada peranti mercu Android seperti Note 10+ yang turut kami gunakan di makmal Amanz.

