Jokowi pertahan jawatan Presiden Indonesia

21 May 2019 • 8:56 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

JAKARTA - Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) berjaya mengekalkan jawatannya untuk penggal kedua setelah menewaskan pencabar utama, Prabowo Subianto dalam Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2019, umum Komisi Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU).

KPU dijangka mengumumkan keputusan rasmi pilihan raya yang diadakan pada 17 April lalu esok namun berikutan kebimbangan berlakunya kekecohan keputusan dikeluarkan lebih awal tanpa sebarang notis.

Jokowi dan gandingannya Ma'ruf Amin dilaporkan memenangi pilihan raya dengan margin 55.5 peratus berbanding 44.5 peratus yang diperolehi Prabowo dan gandingannya, Sandiaga Uno.

"Keputusan diumumkan pada 21 Mei dan akan berkuatkuasa serta merta," kata Pengerusi KPU, Arief Budiman dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung oleh semua media utama.

Menurut pengumuman tersebut, kira-kira 85.6 juta pengundi daripada sejumlah 154 juta pengundi di Indonesia memilih Jokowi.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi sebelum ini, sememangnya kemenangan Jokowi, 57, telah diramal oleh banyak pihak.

Sementara itu, Prabowo, 67, sebelum ini berikrar akan mencabar keputusan yang memihak kepada Jokowi atas dakwaan berlaku penipuan semasa pilihan raya lalu, malah beliau turut memberi amaran ia bakal mencetuskan rusuhan jalanan di seluruh negara.

Terdahulu, kira-kira 32,000 anggota keselamatan dikerahkan ke seluruh Jakarta termasuk di hadapan bangunan KPU.

Ketegangan memuncak sebelum ini apabila polis dilaporkan menahan beberapa suspek yang merancang meletupkan bom ketika himpunan politik apabila keputusan pilihan raya diumumkan. - AFP


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved