Covid-19: Jakim keluarkan garis panduan sambut Aidilfitri

29 Apr 2020 • 12:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengeluarkan garis panduan bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik koronavirus (Covid-19).

Garis panduan itu ditetapkan untuk memberi penerangan kepada masyarakat khususnya umat Islam mengenai kaedah sambutan Aidilfitri.

Ketetapan itu merangkumi kaedah solat sunat Aidilfitri, takbir hari raya, rumah terbuka, ziarah raya dan ziarah kubur yang kebiasaannya menjadi amalan setiap kali tibanya Syawal.

Berdasarkan garis panduan itu, solat sunat Aidilfitri hendaklah diadakan di rumah bersama ahli keluarga dan boleh dilaksanakan tanpa atau dengan khutbah, namun ahli keluarga yang dikuarantin tidak dibenarkan turut serta.

"Pesakit dan petugas di hospital juga dibenarkan menunaikan solat sunat itu mengikut peraturan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Takbir raya pula digalakkan dilakukan di rumah dan hanya suara imam, bilal dan siak atau rakaman suara mereka sahaja dibenarkan di masjid atau surau," katanya.

Bagaimanapun, takbir dari rumah ke rumah tidak dibenarkan dan pengendali stesen penyiaran disarankan menyiarkan rakaman yang sedia ada dengan meletakkan kapsyen 'rakaman ini telah dibuat sebelum tempoh PKP'.

Penganjuran rumah terbuka yang menjadi kelaziman di negara ini juga tidak boleh dilakukan bagi mengelak penularan Covid-19, sementara amalan ziarah-menziarahi untuk bersilaturahim pula diganti dengan kaedah berhubung menggunakan alat komunikasi dan media sosial sebagai pengganti diri.

Amalan menziarahi kubur pada hari raya pula disarankan digantikan dengan bacaan Yasin dan tahlil di rumah bersama keluarga sahaja selepas solat sunat Aidilfitri.