Kemalangan: Lebuh raya Tanjung Malim-Behrang terhalang

27 May 2020 • 4:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

TANJUNG MALIM - Nahas jalan raya melibatkan sebuah lori tangki dan van syarikat keselamatan membawa muatan wang di Kilometer 389.4 Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara) menyebabkan semua laluan arah Utara dan Selatan berhampiran Behrang-Tanjung Malim terhalang berikutan kemalangan tersebut, hari ini.

Kenderaan ke utara telah diarah keluar di Plaza Tol Tanjung Malim, manakala trafik arah selatan diarah keluar di Plaza Tol Behrang.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam laman Twitternya memberitahu, setakat jam 2.48 petang tadi, kerja pengalihan dan pembersihan sedang dijalankan.

"Semua laluan arah Utara dan Selatan masih terhalang," katanya.

image is not available

Maklumat awal daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak pula memaklumkan, kemalangan sekitar jam 12.30 tengah hari itu mengakibatkan seorang penumpang van maut di tempat kejadian.

Menurutnya, nahas turut menyebabkan dua yang lain termasuk pemandu van parah, manakala pemandu lori tangki muatan diesel hanya mengalami cedera ringan.

"Berlaku tumpahan minyak diesel daripada lori berkenaan dan anggota Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) telah digerakkan ke lokasi untuk memantau keadaan," katanya.

Kesemua mangsa telah berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada petugas kesihatan serta polis untuk tindakan selanjutnya.