Lelaki mengamuk dibuang kerja ditembak

23 Sep 2019 • 9:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

BAYAN LEPAS - Seorang lelaki ditembak mati selepas dia dikatakan mengamuk dalam kejadian yang berlaku di sebuah kilang di Bayan Baru di sini petang tadi.

Dalam kejadian jam 5.45 petang, suspek dikatakan menyerang dua pekerja kilang berkenaan dengan menggunakan dua bilah parang sehingga menyebabkan kedua-dua pekerja itu parah.

Difahamkan sepasukan polis bergegas ke kilang berkenaan selepas menerima maklumat kejadian berkenaan.

Menurut sumber, anggota polis telah meminta lelaki berkenaan bertenang dan menyerah diri namun dia bertindak lebih agresif dengan cuba menyerang anggota polis dengan bersenjatakan dua bilah parang.

Katanya, anggota polis yang cuba mempertahankan diri melepaskan tembakan ke arah suspek.

"Difahamkan suspek yang berusia 25 tahun itu sebelum ini bekerja sebagai pembantu kualiti di kilang berkenaan namun dia dikatakan diberhentikan baru-baru ini.

"Dua pekerja kilang yang parah diserang suspek dikejarkan ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan," katanya.

Sehingga kini Sinar Harian masih menunggu pengesahan daripada Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan mengenai kejadian berkenaan.


View Original Article