MINGGU lalu pihak berkuasa menahan beberapa penghantar makanan bermotosikal yang didapati mengedar rokok seludup ketika diperiksa dalam sekatan jalan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik koronavirus (Covid-19) melanda negara.
Pada waktu PKP mengawal pergerakan orang ramai serta terdapat kekangan pergerakan barangan, permintaan rokok sentiasa ada daripada orang ramai khususnya golongan perokok untuk mendapatkan bekalan.
Keadaan ini diambil kesempatan sepenuhnya oleh sindiket perniagaan haram atau underworld dan diperakui oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang memberitahu sindiket rokok seludup menggunakan khidmat penghantaran makanan untuk mengedar kontraban kepada pembeli.
Mungkin bagi anda yang bukan perokok akan pantas meneriak supaya 'haramkan sahaja rokok, habis cerita!'
Penulis bukan perokok tegar tetapi isu ini berkait soal implikasi kepada sosioekonomi kerana jika tidak diberi perhatian dan tindakan sewajarnya, ia bakal memberi impak sangat negatif kepada negara.
Menurut anggaran industri tembakau sendiri, kerajaan berdepan dengan kerugian sebanyak RM1 bilion dalam bentuk cukai tembakau untuk tempoh dua bulan PKP iaitu Mac dan April 2020.
Anggaran itu adalah berdasarkan purata pergerakan harian rokok-rokok sah sebelum PKP dan anggaran bilangan rokok seludup di pasaran dengan angka yang dicatat tahun lalu.
Dari segi cukai harian pula, kerajaan diunjurkan kehilangan RM17 juta disebabkan ketiadaan rokok sah di pasaran dan cukai tidak berbayar daripada rokok seludup.
Lebih daripada 50 peratus tembakau haram di Malaysia masuk menerusi pelabuhan dan lorong tikus. Di samping itu, aliran masuk tembakau haram ke Malaysia juga merebak melangkaui sempadan negara. Di Australia, lebih 40 peratus tembakau haram adalah didatangkan daripada pemunggahan kapal menerusi Malaysia.
Permasalahan rokok seludup di Malaysia bukan terhad kepada masalah domestik lagi. Sebaliknya Malaysia telah berkembang menjadi 'pusat pengedaran rokok seludup' di rantau ini, mengeksport ke negara sejauh Australia, menurut Euromonitor International Ltd.
Laporan Kajian Advokasi Jenama Runcit dan Dagangan (RTBA) terhadap Dagangan Rokok Haram di Asia Pasifik 2020 menunjukkan bahawa Malaysia kerugian lebih daripada RM5 bilion setahun dari segi hasil terhadap dagangan haram rokok.
Bukan itu sahaja, Malaysia bersama dengan China, Vietnam, Indonesia, Singapura telah dikenal pasti sebagai vektor utama dalam penyebaran tembakau haram di seluruh rantau ini.
Menurut RTBA, tembakau haram, kebanyakannya dari kilang di China, diangkut ke Malaysia sebelum diedar ke seluruh Asia dan destinasi terjauh merangkumi Australia. Rantaian bekalan transnasional ini dijangka kekal teguh kerana kumpulan jenayah terancang multinasional ini licik mencari kaedah untuk mengeksport dan mengimport rokok haram semasa Covid-19.
Laporan kajian firma Alvarez & Marsal bertajuk Punca-punca dan Kawalan Tembakau Haram, Edisi Kedua 2019 menyatakan jumlah dagangan rokok haram Malaysia menghampiri 60 peratus, bertambah begitu dramatik ekoran kenaikan cukai eksais 37 peratus pada 2015.
Ia secara langsung mendorong kenaikan 46 peratus dari segi jualan rokok seludup, sekaligus menjadikan Malaysia satu daripada paras tertinggi dalam pasaran tembakau haram di dunia.
Laporan kajian firma The Green Zebras berjudul Kaji selidik Persepsi Rakyat Malaysia Mengenai Merokok dan Vaping mendapati hampir kesemua perokok (93 peratus) dan bukan perokok (93 peratus) bersetuju bahawa perokok berkemungkinan beralih membeli rokok haram akibat duti eksais tinggi yang menyebabkan harga lebih mahal untuk rokok-rokok yang sah.
Kekeliruan
Dianggarkan produk tembakau diedar kepada 60,000 kedai runcit di Malaysia. Produk itu adalah sebahagian daripada kategori barangan dalam Indeks Harga Pengguna (CPI) yang menjejak kadar inflasi.
Ia diselia ketat oleh Kementerian Kesihatan mengikut Akta Makanan 1983 dan diiktiraf sebagai barangan harian penting yang perlu ada untuk jualan di saluran runcit makanan dan kemudahan awam.
Namun sekarang jelas berlaku ketidaksefahaman dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan kekeliruan di pasaran mengenai bekalan dan penghantaran produk tembakau disebabkan garis panduan PKP.
Akibatnya, sepanjang tempoh PKP ini, permintaan untuk rokok seludup telah bertambah dan sindiket menggandakan penggunaan e-Dagang dan platform media sosial bersama dengan perkhidmatan e-hailing serta kurier.
Pengarah Urusan Japan Tobacco International (JTI) Malaysia, Cormac O'Rourke dipetik sebagai berkata, industri tembakau Malaysia menggaji 500,000 pekerjaan terdiri daripada kakitangan dan para pengedar serta peruncit.
"Ini memerlukan tindakan tegas dan muktamad oleh agensi penguatkuasaan berkaitan bagi menangani permasalahan semasa PKP ini dan juga membanteras perdagangan rokok tidak sah atau seludup keseluruhannya.
"Penubuhan Pasukan Petugas Pelbagai Agensi oleh Kementerian Kewangan dan diketuai Kastam Diraja Malaysia bagi memerangi penyeludupan dan perdagangan haram rokok yang diumum pada Januari lalu mestilah dilaksanakan," kata beliau.
Dalam usaha membanteras perdagangan rokok tidak sah atau seludup, kerajaan perlu mencari punca-punca asal menerusi penggubalan polisi dipacu permintaan yang tegas dan penguatkuasaan yang ketat.
Tindakan tegas itu akan memberi isyarat positif bukan sahaja kepada industri tembakau tempatan tetapi paling penting, syarikat multinasional (MNC) yang peranan mereka diperlukan selama negara berusaha pulih daripada kesan Covid-19.
* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif (Cetak) Editorial Sinar Harian


