Amalan rasuah pihak berkuasa boloskan sempadan Malaysia-Thailand: SPRM

18 Oct 2019 • 12:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan kegiatan rasuah yang berleluasa di sepanjang sempadan Malaysia Thailand dipercayai dilakukan oleh pihak berkuasa.

SPRM turut menayangkan beberapa klip video yang menunjukkan bagaimana penyeludupan berlaku dan penguat kuasa yang bertugas hanya berdiam diri seolah-olah tiada perkara berlaku tanpa mengambil sebarang tindakan.

Ketua Cawangan Audio dan Video, Bahagian Forensik SPRM, Badri Azni berkata, modus operandi pihak terbabit adalah penyeludup berjumpa dengan pegawai penguat kuasa yang bertugas untuk mendapatkan kebenaran menyeludup keluar barangan ke Thailand.

"Sebaik mendapat kebenaran kenderaan yang membawa barangan seludup akan tiba sebelum 'tentera semut' menuju ke pagar untuk memulakan aktiviti pemunggahan," katanya.

Menurutnya, antara barangan yang disyaki diseludup keluar ialah barang runcit seperti minyak masak, bawang dan tepung.

image is not available
Badri

"Selain itu mereka juga dipercayai menyeludup barangan subsidi seperti petrol, diesel dan baja," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan daun ketum turut diseludup.

"Jika di sini (Malaysia) daun ketum dijual pada harga RM18 setiap kilogram (kg) tetapi di Thailand harga pasaran menjangkau RM100 per kg," katanya.

Penguat kuasa beri laluan untuk aktiviti penyeludupan

Pada sidang media tersebut, Badri turut menyiarkan rakaman video kenderaan peronda penguat kuasa hanya melalui kawasan penyeludupan tetapi berhenti seketika dipercayai untuk memberi laluan kepada aktiviti itu.

"Kenderaan peronda tidak mengambil sebarang tindakan sedangkan perbuatan salah itu berlaku di depan mata mereka," katanya.

AKAN MENYUSUL