Lebih 2,000 keluarga di Nilai dapat baucar

6 Apr 2020 • 3:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

NILAI - Lebih 2,000 keluarga di Nilai akan dibantu melalui baucar pembelian keperluan harian bagi mengurangkan beban penduduk sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J Arul Kumar berkata, bantuan tersebut memfokuskan kepada keluarga yang hilang punca pendapatan akibat penguatkuasaan perintah kawalan tersebut.

"Bantuan fasa kedua akan bermula minggu hadapan dan dijangka lebih 2,000 keluarga dapat dibantu di DUN Nilai," katanya.

image is not available
Antara sayur-sayuran yang diberi secara percuma.

Kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini memperuntukkan RM3 juta untuk menyediakan bantuan barangan keperluan asas harian kepada individu berpendapatan rendah yang terjejas punca pendapatan akibat koronavirus (Covid-19).

Arul Kumar berkata, pihaknya telah mengagihkan baucar pembelian keperluan harian kepada lebih 1,000 keluarga di daerah tersebut ketika PKP fasa pertama bermula Mac lalu.

Selain itu kelmarin sahaja, seramai 1,200 keluarga dalam DUN Nilai turut dibantu melalui Program Pemberian Barangan Keperluan Kerajaan Negeri Sembilan dengan peruntukan lebih RM100,000.

Sementara itu, Arul memberitahu, sebanyak 1 tan sayur sudah diagihkan kepada 500 keluarga di kawasan Mantin, Pajam dan Batang Benar serta 2,000 topeng muka turut disumbangkan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook.

image is not available
Arul Kumar (kiri) semasa mengagih sayur-sayuran di sekitar Mantin.