'Haramkan vape sebelum terlambat'

27 Nov 2019 • 7:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

ALOR SETAR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan mewujudkan undang-undang pengharaman vape bagi mengelakkan ketagihan seperti rokok.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kerajaan tidak seharusnya menggadai kesihatan rakyat hanya kerana ingin menjaga kepentingan peniaga vape.

“Industri rokok bertapak puluhan tahun di negara ini, kempen perangi rokok menelan ratusan juta tetapi gagal. Tidak dapat dinafikan merokok adalah musibah parah dalam kalangan rakyat kita. Bukan sahaja menjejaskan kesihatan malah ekonomi, sosial dan alam sekitar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Azmi berkata, lebih 30 negara di Asia termasuk China, India dan Singapura melarang penjualan vape di negara berkenaan.

“Mereka yang masih menimbangkan keuntungan ekonomi daripada industri vape mempunyai persepsi yang salah dan kerajaan tidak boleh berkompromi.

"Kematian akibat vape di Amerika Syarikat sudah didedahkan manakala seorang remaja di Filipina mengalami kerosakan teruk pada paru-paru. China turut mengarahkan semua platform jualan atas talian produk e-rokok ditutup," katanya.

Menurutnya, industri itu kini berdepan krisis apabila lebih 30 negara mengharamkan vape dan produk e-rokok.

“Masyarakat tidak seharusnya dikelirukan dengan hujah kononnya industri vape tidak berbahaya. Inilah hujah yang diketengahkan industri rokok ketika diperkenalkan. Namun harus diingat lapan juta perokok mati setahun akibat merokok,” katanya.

Menurutnya, kerosakan yang berpotensi berlaku ketika menggunakan e-rokok sering dibandingkan dengan bahaya merokok.

“Asap tembakau mengandungi 7000 bahan kimia, sekurang-kurangnya 70 daripada itu menyebabkan barah. Bermakna berhenti merokok dan bertukar kepada vape, bukan alternatif baik,” katanya.