Tiga Suruhanjaya Tinggi dipanggil bantu warga asing di Masjid India

Politics
7 Apr 2020 • 5:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUALA LUMPUR - Pusat Pengurusan Krisis (CMC) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan berbincang dengan Suruhanjaya Tinggi India, Pakistan dan Bangladesh di sini dalam memberi kefahaman mengenai wabak Covid-19 kepada rakyat mereka yang tinggal di kawasan Masjid India di sini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia susulan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lagi bangunan di kawasan Jalan Masjid India di sini berkuat kuasa hari ini.

“Ada tiga komuniti warga asing di situ iaitu dari India, Bangladesh dan Pakistan. Kita akan berhubung dengan ketiga-tiga suruhanjaya itu dalam waktu terdekat dan memberi taklimat memandangkan ia melibatkan rakyat daripada negara berkenaan.

“Kita akan bagi penerangan kepada penduduk di situ, minta mereka bawa orang yang boleh bercakap dalam bahasa Urdu, Tamil dan Bengali supaya mesej itu sampai kepada penduduk. Mereka perlu memberikan kerjasama, ini bukan bentuk hukuman tetapi kaedah untuk membantu mereka,” katanya kepada pemberita di sini selepas menerima sumbangan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri untuk diagihkan kepada penghuni Plaza City One yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Annuar berkata, setakat ini, tiada kawasan baharu di Wilayah Persekutuan dikesan mempunyai tanda-tanda penularan Covid-19 kecuali di Sri Petaling, Masjid India dan Pasar Borong Selayang. - Bernama


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved