Dr Noor Hisham terima ucapan tahniah daripada Tunku Ismail

10 Jul 2020 • 11:35 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

PUTRAJAYA - Insan paling popular di Malaysia kerana usaha bersama pasukannya memutuskan rantaian pandemik Covid-19, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini menerima ucapan tahniah daripada Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas anak beliau terpilih menyertai program Felo Perdana.

Menerusi ciapan di Twitter, Tunku Ismail bertanyakan kepada Dr Noor Hisham mengenai Muhammad Khair.

"Adakah dia anak Doktor @DGHisham? Tahniah boss!" ciap Tunku Ismail.

Dr Noor Hisham kemudiannya membalas ciapan tersebut dan mengesahkan Muhammad Khair ialah anak beliau.

"Alhamdulillah. Dia seorang yang berdikari dan boleh berpantun secara spontan serta pernah menang dalam pertandingan pantun di Singapura," balas beliau.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengalu-alukan kedatangan tiga siswazah yang terpilih menyertai Felo Perdana di kementeriannya.

Selain Muhammad Khair, Am Abdul Aziz dan Chow Shenn Kuan turut ditempatkan di kementerian tersebut sebagai pendedahan berkaitan tadbir urus kerajaan kepada golongan belia.

Muhammad Khair merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Jurusan Ekonomi Bisnes di Universiti Sheffield Hallam.

Walaupun berbeza bidang dengan bapanya, Muhammad Khair cemerlang dalam bidang akademik apabila meraih pelbagai anugerah termasuk memenangi pertandingan Sheffield Business School International Dragon鈥檚 Den Competition tahun 2019.

Beliau juga pernah dianugerahkan sebagai pelajar terbaik iaitu menjadi ketua kepimpinan majlis perwakilan pelajar di UiTM Pahang pada tahun 2018.

Selain itu, Muhammad Khair pernah dilantik sebagai Pengarah Program Kepimpinan dan Hubungan Budaya 2018.

Felo Perdana 2020 melibatkan seramai 82 belia dan 58 ialah graduan manakala 24 ialah membabitkan siswa.